"Bila kita susah, tak ada orang nak tolong kita, selain daripada diri kita sendiri.."
Terpana Ayu mendengar kata2 suaminya. Tiba2 jiwanya jadi sebu. Ada air mata bergenang tanpa segan silu. Hatinya meruntun pilu. Benar kata suami yang dicintainya. Memang tiada siapa yang menghulur tangan ketika dia dan keluarganya dilanda kesusahan. Ayu sedar itu. Tiada orang lain yang boleh diharap. Bukan juga darah daging sendiri.
"Abang hati2 ya. Harap2 hujan malam ni tak berlarutan. Abang pun janganlah berhujan sangat, nanti tambah demam tu" Nasihat Ayu kepada suaminya ketika mengiringi suaminya ke pintu.
"Ya lah"
Selang beberapa minit, kereta yang dipandu suaminya beransur pergi meninggalkan dirinya dan anak2. Membelah pekat malam demi mencari pendapatan lebih. Walau bukan bidangnya, namun desakan hidup dan rasa tanggungjawab menzahirkan usaha. Penat lelah selalu diketepikan.
"Dia dah banyak sangat berkorban..." detik hati Ayu dengan jujur dan ikhlas.
Fikiran Ayu merewang lagi. Teringatkan kata2 suaminya tadi. Sejak berpindah balik ke kampung, hanya suaminya yang bertungkus lumus mencari rezeki. Dia pula hanya menguruskan anak2 dan rumah tangga. Asalkan mendatangkan duit yang halal, semuanya akan dicuba oleh suaminya.
Bukan tidak pernah memohon kerja sebelum ini, tapi tiada khabar berita daripada pihak syarikat. Memang susah nak dapat kembali jawatan jurutera di kawasan kampung yang separa membangun ini. Faktor umur yang di awal 40an mungkin menjadi penyumbang kepada 'kedinginan' pihak syarikat untuk mengambil suaminya bekerja. Yang tinggal cuma janji kosong daripada pihak syarikat. Bukan tiada 'orang dalam' yang boleh menolong, tapi sampai saat ini janji2 mereka hanya menjadi pemanis mulut. Ayu dan suami akur itu.
"Mama, adik dah tidur" Suara anak keduanya mematikan lamunan.
"Adik dah tidur?" Okey, tolong mama pasangkan kelambu". Sejak setahun lebih berada di kampung, anak2nya memang tidur dalam kelambu. Banyak nyamuk. Disembur ridset pun bukannya berkesan. Salah satu perubahan yang diterima baik oleh anak2 nya.
Memang Ayu beruntung mendapat anak2 yang sedikit sebanyak boleh menerima kehidupan baru mereka dengan seadanya. Walau kadang2 masih terdengar rungutan tentang ketidak mampuan hidup mereka, namun nasihat Ayu dan suaminya memudarkan seketika rasa tidak puas hati anak2nya. Budak2 apalah mereka tahu tentang perjuangan dan pengorbanan dalam hidup ini. Hidup yang agak mewah sebelum ini memang memberi tamparan hebat kepada mereka sekeluarga. Seakan baru semalam semuanya berubah.
"Aku boleh menerima takdir ini seadanya, tapi anak2 perlukan masa" bisik hati Ayu. Perlahan lahan mereka akan terbiasa dengan keadaan ini. Itu doa dan harapan Ayu.
"Ayah dan mak harap sangat agar Along dapat balik dan menetap di kampung" Ujar adik perempuannya ketika Ayu masih berada di perantauan. Perasaan Ayu masih berat. Hatinya berbelah bahagi. Macamana nak teruskan hidup di kampung, anak2 bagaimana? Nak kena tukar sekolah lagi. Urusan tukar sekolah bukan boleh dibuat sehari dua. Kerjayanya sebagai seorang pegawai di sebuah syarikat swasta takkan nak lepas begitu saja? Hutang piutang kereta, rumah siapa nak tanggung?
Suaminya pulak macamana? Tak mungkin Ayu sampai hati nak membiarkan suaminya menguruskan segala keperluan seorang diri. Walau kampung dan rumah mereka bukanlah jauh sangat, tapi berbaloikah kalau berulang alik setiap minggu? Duit tol, minyak, masa dan tenaga?
Hati Ayu berat nak meninggalkan kerjayanya. Jawatan yang disandang menjadi cita2nya sejak dulu. Gaji yang agak lumayan memang membolehkan dia memiliki apa yang dihajati, malah Ayu mampu berkereta sendiri ke pejabat. Hidup di kotaraya besar perlukan pendapatan yang bukan sedikit. Gaji Ayu dan suami membolehkan mereka hidup agak mewah.
Menetap di kampung, bermakna Ayu harus melupakan dan meninggalkan apa yang dia miliki. Hidup dan kerjaya. Dua benda penting yang perlu ditimbang sebaiknya. Bukan mudah bagi Ayu untuk memenuhi hasrat kedua orang tuanya. Apatah lagi hidup di kampung yang belum pasti menjamin masa depan dia dan anak2nya.
Ayu mengeluh berat. Matanya dipejam rapat. Berat mata memandang, berat sangat beban yang dipikulnya. Jiwanya terseksa. Hatinya terluka. Parahnya hanya dia dan suami yang berkongsi. Pahit getir untuk memulakan kehidupan yang baru bagai menanggung selori batu di kepala.
"Apalah yang mereka tahu...." Hatinya terus merintih. Air matanya mengalir lagi. Kali ini entah yang ke berapa ribu kali. Menyesalkah dia dengan keputusan yang dibuat setahun lalu?
"Takpa, kereta Along tu biar Ayah yang tanggung separuh. Kita kongsi bayar.."
"Tak payah dijual, kalau ada kereta boleh diguna untuk bawa ayah berubat"
Itu janji dan harapan yang pernah Ayu dengar lebih setahun dulu, ketika dia baru sebulan berada di kampung ayah. Hati Ayu sedikit lega. Janji ayah Ayu pegang. Mungkin ayah tak sampai hati nak tengok Ayu kehilangan kereta kesayangannya. Ayu tak mampu lagi nak bayar hutang kereta semenjak dia melepaskan jawatan dulu.
Keputusan suaminya untuk turut serta tinggal di kampung menambahkan beban mereka. Pun begitu, Ayu bersyukur sebab mereka tidak perlu berjauhan lagi dan dapat bersama menguruskan persekolahan anak2. Anak2nya yang meningkat remaja memang perlukan perhatian dan jagaan sepenuhnya daripada kedua orang tua. Ayu tidak mahu mengorbankan masa depan anak2 dengan keadaan yang terpaksa dia dan suaminya lalui. Ayu tidak mahu menggadaikan masa depan anak2nya sebagaimana dia menggadaikan nasib dan takdir hidupnya.
Bukan sedikit dia menghabiskan wang simpanan demi melunaskan hutang piutang rumah dan kereta. Malah untuk makan hari2 pun dia terpaksa menggadaikan barang kemas. Rantai dan gelang tangannya dah biasa masuk keluar pajak gadai. Yang paling meruntun hati Ayu ialah apabila mereka terpaksa menjual rumah ke2 mereka demi meneruskan hidup tanpa mendapat ehsan daripada sesiapa.
Bukan Ayu merungut, tidak sekali mengungkit. Janji2 ayah dulu untuk menanggung separuh daripada hutang keretanya hanya mekar di permulaan. Layu dan mati tanpa ayah berusaha mengotakannya. Ianya hanya sebuah janji manis untuk memancing kesudiannya untuk menetap di kampung. Memang keuzuran ayah yang memaksa Ayu untuk menimbang keputusannya. Lantaran mendapat keizinan suami, Ayu merelakan dengan hati yang terbuka. Ayu ikhlas berkorban demi sebuah tanggungjawab. Besar harapan Ayu agar susah senang Ayu sekeluarga mendapat sedikit sebanyak perhatian daripada ayah, mak dan adik beradik yang lain.
Namun kehampaan yang Ayu ratapi sekarang. Ayu dan suami terbiar. Mencari jalan untuk terus hidup. Menjual rumah, menjual kereta untuk melangsungkan tuntutan hidup. Ayah hanya memandang. Mereka sekadar mendengar...
"Kami pun dah banyak berabis sebab berubat. Dah tak ada pendapatan. Asyik keluar saja, masuknya tidak" Begitu rungutan mak di suatu petang ketika Ayu, ayah dan mak berbual kosong. Ayu terdiam. Ayu pandang wajah mak. Ayu tenung wajah ayah. Ayu teringat, buku ASB ayah masih berbaki 40 ribu lebih. Buku ASB mak pun masih ada jumlah yang sama. Itupun setelah ditolak duit beli tanah yang ayah keluarkan beberapa bulan yang lalu. Gelang tangan mak masih ada. Rantaipun masih lekat dalam simpanan. Ayu congak. Jumlah rantai dan gelang tangan tidak kurang 20 ribu harganya. Jika dicampur duit mak dan ayah serta barang kemas masih ada lebih dari 100 ribu. Ayah dan mak masih ada sebuah rumah besar dengan beberapa bidang tanah sawah.
"Apa yang tinggal untuk Ayu, ayah? Ayu dah tak punya apa2 lagi mak.." Rintih Ayu sendiri. Air mata mengalir lagi. Hanya di hati. Sampai hati ayah dan mak.
"Bukankah Ayu kehilangan semua yang Ayu miliki semata-mata untuk menyenangkan hidup mak dan ayah? Ayu balik sini kerana simpati dengan nasib mak dan ayah. Dan sekarang ayah dan mak bercakap tentang wang dan harta yang tidak bertambah? Tiada apa yang tinggal lagi untuk Ayu, mak. Jika nak merungut, rasanya Ayu lebih berhak untuk merungut......"
(bersambung...)
0 comments:
Post a Comment